Monday, April 5, 2010

Aku dan Arowana

Lewat pulang dari pejabat tadi aku terus ke kedai akuarium. aku duduk depan kedai itu hampir 20 minit. tengok ikan kelisa memang mengasyikkan.aku betul-betul kagum dengan ikan kelisa. persekitarannya perlu kosong. tidak perlu batu-batan mahupun tumbuhan. ikan tersebut juga jenis yang menanda wilayahnya. jadi satu ikan kelisa memerlukan satu tangki yang paling kurang dalam 4-5 kaki. itu dari pemerhatian naif aku lah. cara ikan tersebut berenang paling aku kagum. terlampau cantik. berpusing sekeliling tangki dengan perlahan-lahan dengan badan yang tegap. dengan warna yang tidak menonjol tapi cukup menawan. bentuk sisik, warna, insang, mata, baris-baris sisik berbeza mengikut baka sekaligus menentukan harganya.

aku tidak pernah ingin membela apa-apa haiwan ternakan selain daripada ikan kelisa. pada aku kucing sepatutnya bebas. burung sepatutnya bebas. kelisa? nanti aku cerita. mungkin sebab sejarahnya ketika aku kecil orang tua aku sudah pun memiliki arowananya sendiri. serius aku cemburu. bila mana orang nak membeli ikan tersebut dengan harga ribu-ribu (belas atau puluh aku tidak pasti) mentah-mentah ditolak. ketika itu ikan kelisa tidak dijual secara komersial seperti sekarang. akhirnya kerana ikan tersebut terkena penyakit mulut bapa aku lepaskan sahaja ke tasik yang sekarang ini dipenuhi kelab-kelab malam. kerana masih kecil, aku tidak berapa ingat hal tersebut. apa yang aku ingat, semua tenang walaupun sedih ketika ikan yang bertahun-tahun menghuni rumah aku tersebut dilepaskan pulang ke habitat semulajadi. bukan ada forum untuk dicari penyelesaiannya ketika itu. kawasan rumah aku ketika itu pula jangan kata doktor ikan, hendak cari doktor binatang pun masalah.

beberapa kali aku cuba mencari alternatif kepada kelisa. tetapi tidak satu pun bertahan sungguhpun spesis ikan juga. seperti aku katakan tadi, aku kurang selesa melihat binatang dikurung. lemah. cuma semalam dalam kawan-kawan sibuk mencari kucing baka bengal (mungkin memelihara kucing hutan adalah satu trend sekarang) aku terpandang arowana golden tail, pearl dan silver. terus berkobar kembali. teringat sewaktu belajar dulu memang tidak mampu. hanya mampu mencuri lihat setiap kali ke pusat beli-belah yang ada kedai haiwan peliharaan.

hari ini. satu hari aku termenung. ada beberapa masalah lagi untuk aku pertimbangkan sebelum arowana itu dapat aku pelihara. Pertamanya, tidak satu perkara pun aku ketahuan berkenaan haiwan tersebut. bila forum dibuka, orang bercakap mengenai penyakit, ph air, saiz akuarium, jenis ikan kelisa, garam, penapisan air, uv, alga, pemakanan, pembiakan, lokasi, pencahayaan dan pelbagai lagi. jadi dari mana aku patut mula? mana atau dengan siapa perlu aku belajar?

keduanya adalah masalah logistik. memandangkan saiz akuarium tersebut minimum 4-5 kaki (mengikut pandangan majoriti) mana mahu aku campak peti tangki tersebut? bilik aku sudah cukup sarat rasanya. tambahan pula pendawaian elektrik rumah aku sensitif. mahu tidak bernafas kelisa tersebut. ketiga faktor kewangan. abang aku pernah cakap ikan mainan orang kaya. sebenarnya aku tidak peduli ikan yang aku pelihara tersebut ada harga atau tidak. mahal atau murah. tetapi mestilah kalau dapat hendak yang cantik. yang cantik itu pula walaupun anak 5-6 inci harga sudah beribu. ini tidak masuk tangki kelengkapan maintenance makan apa segala. mampu ke aku?

masalah keempat adalah faktor dalaman. aku tidak paham kenapa orang bela kucing dalam sangkar (maaf saya tahu anda ramai). Bukankah kucing itu sepatutnya bebas bergerak, melompat dan bermain walau di halaman rumah? bukankah kucing itu punya kuku dan taring. bukankah makanan kucing itu sepatutnya tidak membebankan tuannya? sama seperti burung. bukan ke hak burung tersebut untuk terbang bebas di langit biru. bergerak dalam kumpulan dan mendapat udara secukupnya? dalam kes ikan kelisa, pada aku dia memang bergerak sendiri, jika dipelihara kita dapat pastikan kualiti airnya berbanding air teh tarik dan sampah sarap yang terdapat di dalam air di permukaan bumi.

Cuma satu konflik yang sukar aku selesaikan jika ikan tersebut aku pelihara adalah masalah pembiakan. hei, ikan juga perlu mengawan. tetapi ikan jenis kelisa ini suka tuntut wilayah, jadi sukar letak dua ekor dalam satu akuarium. sekurang-kurangnya 5-6 ekor. itu pun masih ada kemungkinan untuk bergaduh melompat keluar cedera dan sebagainya. dan yang paling penting mana nak letak tangki gedabak kalau sudah 5-6 ekor. dan menurut pembiak-pembiak ikan kelisa, agak sukar membiak ikan tersebut di dalam tangki. perlu ada kolam separa semulajadi. itu pun cerewet. perlu diasing bila sudah mengawan dan sebagainya. jadi satu cara yang aku nampak hanya ternak seekor. walaubagaimanapun bukankah itu seperti aku tahan hak dia mendapatkan kegembiraan? menyekat nafsu binatang? hak memilih pasangan hidup? hak bersosial? hak mendapat anak? hak menyambung keturunan? hahahaha ya itu yang aku kusutkan.

Ini belum masuk masalah mencari masa. membersihkan tangki, memberi makan dan sebagainya. kalau arowah arowana tersebut, bukan ke aku akan rasa sungguh bersalah? di samping rasa rugi.

kadangkala aku terfikir cantiknya dunia ini, tidak pernah boleh aku miliki. cuma sekadar menumpang teduh melihat apa yang ada. berangan melihat ikan peliharaan ketika tertekan belajar. menghilangkan letih sekembali dari pejabat dengan melihat ikan di dalam bilik. hakikatnya aku masih di depan kedai melihat ikan kelisa berenang. dan tauke mula memandang pelik

No comments:

Post a Comment